KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) merupakan parti yang terawal memohon untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setakat ini.
Perkara itu diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Penaja GRS Datuk Seri Hajiji Haji Noor selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, GRS akan mempertimbangkan permohonan mana-mana juga parti yang mahu menyertai gabungan itu melalui satu jawatankuasa khas.
“InsyAllah kita akan mempertimbangkan permohonan-permohonan parti-parti lain yang ingin menyertai GRS (termasuk parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM)).
“Kita telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk membuat laporan kepada majlis tertinggi di masa akan datang mengenai permohonan-pernohonan parti-parti yang ingin menyertai GRS,” katanya.
Mengenai permohonan USNO Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, parti itu telah memohon menyertai GRS sejak awal tahun lalu dan pihaknya akan mempertimbangkan permohonan itu dengan sebaik-baiknya.