KOTA KINABALU: Rakan gabungan terbaharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), berikrar untuk memberikan komitmen dan kerjasama sebaik mungkin kepada gabungan kerajaan negeri itu.
Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi jaminan ini kepada rakan GRSnya sambil mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpinnya kerana menerima Usno sebagai rakan kelima dalam gabungan tersebut.
“Kami tidak akan memberi sebarang masalah kepada pemimpin (GRS) yang sudah memikul pelbagai tanggungjawab ke arah meletakkan Sabah pada tempat yang lebih baik seiring dengan objektif Sabah Maju Jaya.
“Kami tidak akan membuat sebarang tuntutan yang tidak perlu, parti kami bersaiz kecil dan tiada sesiapa perlu risau mengenainya,” kata ahli politik veteran Sabah itu ketika dihubungi pada Selasa.
Pandikar berkata beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee kerana menyokong dan menaruh keyakinan pada Usno.
“Saya berterima kasih atas penerimaan mereka,” kata Pandikar yang menjelaskan pihaknya memohon untuk menyertai GRS pada Januari 2021, iaitu selepas pilihan raya negeri Sabah pada 2020.
Katanya, beliau menyedari sepenuhnya keperluan bekerjasama sebagai sebuah parti dalam gabungan berdasarkan pengalamannya dalam Barisan Nasional semasa beliau menjadi presiden Parti Akar yang kini tidak lagi berfungsi.
Bekas speaker Dewan Rakyat itu berkata, objektinya seiring dengan visi GRS iaitu untuk mengukuhkan parti politik berasaskan tempatan seperti yang dipraktikkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau turut menegaskan telah tiba masanya ‘abang besar’ (Umno dan Bersatu) di Semenanjung membenarkan pemimpin Sabah melakar hala tuju politik mereka tanpa campur tangan kerana Sabah mempunyai cara tersendiri.
“Kerajaan Umno dan Bersatu di peringkat Persekutuan mesti memahami politik Sabah, mereka mesti memberi sokongan kepada kami dan mereka tidak boleh campur tangan,” katanya sambil menambah Usno akan meneruskan agendanya untuk Sabah melalui GRS.
Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, Usno asal yang dipimpin oleh Allahyarham Tun Mustapha Harun merupakan parti politik utama yang mewakili bumiputera Islam di negeri ini.
Pada 1991, Mustapha membubarkan Usno, bagi membuka laluan kepada kemasukan Umno ke Sabah.
Parti itu didaftarkan semula sebagai Usno Baru pada 2013 tetapi kekal sebagai kumpulan yang kurang memberi impak sehinggalah Pandikar mengambil alih parti itu sebelum pilihan raya negeri pada September 2020.