KOTA KINABALU: Mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Mohd Salleh, 90, melahirkan keyakinan bahawa sebuah parti berasaskan bumiputera Islam tempatan di Sabah amat diperlukan untuk menstabilkan senario politik di negeri ini.
“USNO menjadi tonggak utama dalam politik Sabah sementara parti-parti KDMR dan Cina berperanan sebagai pendukung kuatnya,” katanya.
Menurutnya, USNO boleh memainkan peranan yang penting dalam membela kepentingan Melayu Islam di Sabah dan lebih penting lagi USNO adalah sebuah parti tempatan dengan keahlian dan sokongan dari kalangan Melayu dan Muslim.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di ibu negeri pagi kelmarin, sehari selepas menerima pelantikan sebagai Penasihat parti USNO. Hadir sama dalam sidang media itu ialah Presiden USNO Ibrahim Linggam.
“Sekarang tidak ada parti Melayu yang mewakili dan melindungi hak Melayu di Sabah, UMNO dan BERSATU adalah parti Melayu tetapi dari Malaya sementara WARISAN dan PCS adalah parti-parti tempatan berbilang kaum,” katanya.
Oleh yang demikian katanya, adalah diperlukan sebuah parti untuk mengembalikan semula maruah bumiputera Islam dan juga menambah baikkan tahap ekonomi serta kepentingan ekonomi mereka.
Katanya, Usno adalah platform terbaik kepada masyarakat bumiputera Islam di Sabah.
Harris juga berbangga dengan USNO sempena pelancaran Rundingan Baru dan Manifesto PRN16 oleh Ketua Umum USNO Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sempena Hari Malaysia kelmarin.
“Saya ucapkan syabas kepada Presiden Ketua Umum Tan Sri Pandikar Amin, dan semua tenaga kerja USNO yang menjayakan pelancaran Rundingan Baru-Manifesto USNO untuk dipersembahkan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau ingin melihat perjuangan USNO berlandaskan lima perkara iaitu mengembalikan semula maruah bumiputera Islam di Sabah, membawa balik Semangat 1963 dimana USNO , KDMR (Upko) dan Cina (SCA) membentuk satu Parti Perikatan, sebuah gabungan yang terdiri daripada tiga kaum utama yang pernah mentadbir Sabah selama 13 tahun.
Perjuangan USNO juga mampu memulihkan semula program Pembangunan Ekonomi Luar bandar termasuk kawasan pesisiran pantai dan pedalaman Sabah, memperkenalkan penanaman bambu hingga seluas dua juta hektar untuk menghasilkan serbuk bambu bagi penggunaan tanpa had dan akhir sekali melindungi Sabah daripada dikuasai dan dimanipulasi Putrajaya.-utusan borneo