PETALING JAYA: Beberapa tahun ini, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang pernah berkuasa dahulu, cuba mencari jalan kembali ke arus perdana politik Sabah tanpa banyak kejayaan.
Isnin lalu, keadaan itu berubah apabila Usno secara rasmi menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu gabungan yang mentadbir negeri kedua terbesar di Malaysia itu.
Penyertaan Usno dalam GRS bagaimanapun membingungkan.
Ini kerana sudah ada parti dominasi Bumiputera Islam dalam GRS, iaitu Bersatu. Kemasukan Usno menimbulkan persoalan apakah yang boleh disumbangkan oleh ahli paling kecil dalam gabungan itu.
“Ia adalah wadah untuk menyatukan Bumiputera Islam Sabah di bawah sebuah parti. Kini sudah tiba masanya,” kata seorang veteran Umno Sabah kepada FMT.
Pemimpin itu yang enggan dinamakan berkata, Usno sudah menghubungi pemimpin Umno untuk menarik mereka menyertainya.
Veteran Umno itu berkata, parti yang diketuai bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia itu boleh menjadi “rumah baharu” buat pemimpin Bersatu Sabah memandangkan parti itu seakan-akan mati di Sabah, khasnya apabila Muhyiddin Yassin bukan lagi perdana menteri.
Katanya, ramai ahli Bersatu dan Umno Sabah melihat kemungkinan Usno bangkit menjadi seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, iaitu parti dominan di Sarawak dan seterusnya membebaskan Sabah daripada kawalan politik Semenanjung.
“Ini akan menjadi perubahan besar. Ini patut menjadi matlamat. Tetapi untuk memastikan ia berjaya, langkah menarik semua orang menyertai Usno adalah cabaran sebenarnya, khasnya pemimpin Umno.
“Ramai daripada kami masih mempunyai sokongan akar umbi. Jadi bagaimana mereka hendak menerimanya jika kami ‘pindah rumah’ (sertai Usno)? Ini perlu difikirkan Usno.”
Penganalisis, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah percaya Usno lebih merupakan “Pelan B” untuk pemimpin Bersatu dan Umno Sabah.
“Dinamika antara Umno dan Bersatu di Sabah jauh berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Di sini mereka masih berkawan,” katanya kepada FMT.
Namun katanya, jika mereka berdepan terlalu banyak tekanan untuk bersaing antara satu sama lain, semuanya mungkin akan menyertai Usno.
Bagaimanapun Lee percaya pemimpin Bersatu dan Umno Sabah lebih sukakan status quo kerana ia membolehkan mereka berkongsi kuasa tanpa perlu berada di bawah “seorang bos”.
“Dari seri penjenamaan juga bendera mereka lebih dikenali berbanding Usno. Namun saya fikir jika mereka dipaksa, mereka mungkin melompat kepada Usno.”
Usno ditubuhkan pada 1961 oleh Mustapha Harun sebagai parti yang sebahagian besarnya berasaskan sokongan etnik Suluk-Bajau. Ia mentadbir Sabah pada 1967 tetapi tewas pada 1976 oleh kumpulan pemisah yang menubuhkan Berjaya. Dua parti itu bergabung pada 1990 untuk membentuk Umno Sabah.
Pendaftaran Usno dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 1996 tetapi dihidupkan semula pada 2011. – FMT