KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyatakan sokongan terhadap penggubalan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata, penggubalan ini adalah satu usaha murni selaras dengan dasar kerajaan MADANI yang menekankan kemajuan dan ketamadunan dalam masyarakat.
“Kita bersetuju dengan RUU Mufti kerana ianya selari dengan Enakmen Fatwa Negeri Sabah berhubung mufti yang telah diluluskan pada 2004.
“Bermakna Sabah sudah memiliki undang-undang serupa selama lebih 20 tahun lalu. Jika diteliti balik sejarah undang-undang ini, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik tanpa sebarang kesan negatif,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Katanya, kedua-duanya mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah serta demikian juga RUU Mufti nanti akan sealiran dengan negeri ini.
“Ia penting bagi mempersiapkan umat Islam dalam menghargai era globalisasi yang semakin terdedah kepada aliran sesat yang pelbagai dan kekeliruan dalam pengamalan Islam.
“Menerusi RUU, pengasingan kuasa antara Jabatan Agama Islam, Mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih jelas,” katanya.
Justeru, katanya, semua pihak diseru supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang mengakibatkan tafsiran yang salah seterusnya akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam dalam negara.
“Kita mahu agama Islam bagi yang muslim bukan hanya untuk dihormati tetapi dari segi undang-undang tetapi teratur.
“Umat Islam dinasihatkan agar menjaga tutur kata dan mempamerkan akhlak serta adab yang baik terutama dalam perkara yang melibatkan perbezaan pandangan,” katanya. – Utusan Borneo