TAWAU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu terus memain peranan dengan lebih berkesan dalam usaha meneruskan gerakan dakwah Islam khususnya di Sabah.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, USIA mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dan masih relevan sehingga kini dalam membantu mengembangkan agama Islam.
Katanya, sejak USIA ditubuhkan pada tahun 1969, pertubuhan ini telah diberi tanggungjawab untuk berdakwah dan memberi didikan agama kepada umat Islam.
“Melalui USIA bilangan umat Islam di Sabah yang celik terhadap ilmu agama semakin bertambah sehingga lahir ilmuan-ilmuan Islam dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Ini menunjukkan USIA yang diilhamkan oleh bekas Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha Datu Harun juga jelas bahawa pemimpin terdahulu turut mahu meluaskan syiar agama Islam di bumi Sabah ini,” katanya.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata ketika berucap pada Program Forum Ramadan Yang Dinanti anjuran Biro Dakwah dan Pendidikan USIA Tawau di sini semalam.
Menurutnya, USIA turut memainkan peranan mewujudkan Majlis Ugama Isam Sabah (MUIS) yang dapat mengendalikan program-program keagamaan di Sabah.
Sementara itu, Nizam juga yakin Tawau yang dikenali sebagai ‘Bumi Peladang’ akan subur dengan dakwah dan penyebaran ilmu agama Islam.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada USIA Tawau kerana berjaya melaksanakan program-program keagamaan di daerah ini.
“Selain itu, pertubuhan USIA juga telah berjaya menyatupadukan semua umat Islam yang terdiri dari pelbagai suku kaum di daerah ini,” katanya.
Turut hadir, Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Haji Ahmad dan Ketua USIA Tawau, Haji Yahya OKK Haji Zainal. – Utusan Borneo