KOTA KINABALU: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Hj Ahmad menghargai sokongan kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, kepada pertubuhan itu.
Katanya, sokongan kerajaan negeri itu membolehkan pihaknya melaksanakan kegiatan menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024.
Ia termasuk bagi projek membaik pulih bangunan USIA di Sembulan, dekat sini, yang sudah pun dimulakan fasa pertama pelaksanaannya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA Kali Ke-38 Tahun 2023 dan makan malam, di sini kelmarin.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Dalam pada itu, Sapawi berkata pelan strategik yang diperkenalkannya itu sebahagian besarnya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Katanya, pelan pembugaran itu adalah keputusan bersama yang mewakili seluruh pimpinan USIA yang memperincikan segenap aspek.
“Ia bagi menggilap, memperelok dan memperbaiki serta mengangkat gerakan dakwah USIA agar terus relevan dengan keperluan masyarakat dan perkembangan zaman,” katanya.
Menurutnya, menerusi pelan itu digariskan enam agenda besar termasuk usaha memperkasa dakwah serta kegiatan ekonomi. – Utusan Borneo