USIA Berharap Dapat Guna Bangunan Sendiri Sebagai Pusat Pergerakan

USIA.jpg

Sapawi (duduk kelima dari kiri) diapit oleh timbalan presiden, naib presiden dan ahli majlis tertinggi yang baru dilantik dan lain-lain.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) berharap dapat menjadikan bangunan sendiri di Sembulan sebagai pusat pergerakannya.

Presiden USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata bangunan berusia 50 tahun itu dibina pada era Usno pada 1972.

“Ia adalah bangunan warisan kita,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas ahli Majlis Tertinggi USIA di 1Borneo dekat sini pada Khamis.

Tambahnya, mereka berharap mendapat pembiayaan untuk memulihkan bangunan lama USIA itu.

Semasa sidang media itu, Sapawi turut mengumumkan pelantikan ahli Majlis Tertinggi USIA yang baharu bagi penggal 2022-2024.

“Dalam mesyuarat khas ini, saya telah mengumumkan pelantikan timbalan presiden, naib presiden dan 14 ahli Majlis Tertinggi USIA.

“Sebarang jawatan untuk ahli Majlis Tertinggi yang belum diumumkan hari ini (Khamis), akan diumumkan kemudian,” katanya.

Beliau menambah bahawa pelantikan adalah selaras dengan Perkara 16(iii) perlembagaan USIA.

Timbalan presiden yang dilantik USIA ialah Datuk Haji Alipuddin P. Puyon manakala naib presiden yang dilantik ialah Samad Jamri.

Ahli Majlis Tertinggi yang dilantik ialah Datuk Profesor Madya Dr Haji Abdul Kadir Haji Rosline, Datuk Dr Mingu Jumaan, Datuk Haji Norjeli Haji Dais, Datin Hajah Norlaila Haji Said, Dr Abdul Halim Juanis, Haji Abdul Rahman Tun Sakaran, OKK Jasni Eser, Ustaz Haji Pajudin Haji Nordin, Haji Harun Pata, Mohd Reduan Datuk Aklee, Hajah Nirma Habibi, Sahari Amdan, Rosly Roslan Asing dan Haji Awang Hashim Awang Damit.

Sapawi juga berkata beliau telah melantik Iman Ali, bekas pegawai kanan kerajaan sebagai setiausaha agung USIA, yang akan dibantu oleh Zulhaimi Haji Asbi.

Jawatan bendahari am USIA diberikan kepada Haji Sainuri Yahmin, bekas pegawai kanan Telekom Malaysia; manakala Datuk Haji Abdullah Hussin akan berkhidmat sebagai ketua penerangan, katanya.

“Semua pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah timbalan presiden USIA, Haji Hakim Gulam Hassan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top