Usia 17 Tahun Ke Bawah Tidak Diberi Suntikan Vaksin Untuk Elak Risiko Kes Radang Jantung – CITF

myocarditis-radang-jantung.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin COVID-19 tidak akan diberikan kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan semalam berkata, ia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas remaja pada usia itu mengambil dos kedua vaksin COVID-19 seperti kajian di Amerika Syarikat (AS).

Kenyataan itu menyebut, ketika ini, pemberian vaksin hanya kepada remaja yang akan mencapai usia 18 tahun termasuk pelajar tahun peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Untuk makluman, buat masa ini kerajaan bersetuju untuk tidak memberikan vaksin COVID-19 kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon SPM bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin COVID-19 seperti kajian di AS.

“Selain itu, usaha sedang dilakukan untuk mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan staf sokongan sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah kelak.

“Pelaksanaan ini dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah,” katanya.

CITF berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang memuktamadkan garis panduan klinikal pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan remaja yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

Berikutan itu, ia akan membuat makluman lanjut selepas tarikh pelaksanaan vaksinasi bagi golongan ini diputuskan kelak.

Sementara itu, CITF berkata, pendaftaran bagi kumpulan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun sememangnya sudah diterima oleh sistem MySejahtera, namun tiada janji temu diberikan kepada kumpulan usia berkenaan buat masa sekarang.

“Sistem MySejahtera akan terus menerima pendaftaran vaksinasi untuk golongan remaja supaya ia boleh digunakan pada masa depan apabila sebarang keputusan dibuat berkenaan hal ini.

“Ketika ini, keutamaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Ffasa dua dan memantapkan pelaksanaan fasa tiga di seluruh negara termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik COVID-19,” katanya.

BH kelmarin melaporkan, aplikasi MySejahtera sememangnya sudah membenarkan pendaftaran kanak-kanak berusia antara 12 hingga 18 tahun dalam aplikasi terbabit.

 

CITF dilaporkan berkata, biarpun aplikasi MySejahtera membenarkan pendaftaran untuk mereka yang berusia 18 tahun ke bawah, tiada tarikh janji temu akan diberikan manakala hanya pelajar yang lahir pada 2003 dan akan melanjutkan pelajaran ke luar negara yang dibenarkan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 berikutan mereka mencecah usia 18 tahun tahun ini.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top