KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek pembangunan melibatkan kawasan Kampung Air di Semporna bakal meningkatkan pembaharuan daerah berkenaan sebagai kawasan tumpuan pelancong.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, pembangunan berkenaan melibatkan kawasan tanah seluas 21 ekar milik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, skop pembangunan yang akan dijalankan termasuklah pembinaan dua hotel bertaraf tiga dan empat bintang, lot-lot kedai dan pejabat, serta komersial suite.
Menurutnya, LPPB bersama syarikat Cepat Hebat Sdn Bhd memeterai perjanjian usaha sama bagi menjalankan projek pembangunan itu yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
“Ini satu langkah yang tepat dalam memperbaiki pembangunan dan meningkatkan pembaharuan di Semporna dengan pembinaan hotel, pejabat dan pasar raya.
“Jika dilihat, Semporna antara kawasan yang menerima kunjungan pelancong paling ramai di Sabah.
“Sebab itu kita kena ada satu pembangunan bagi mendapatkan jangkaan tinggi untuk pelancong menerima perkhidmatan hotel yang lebih baik di Semporna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Antara LPPB dan Cepat Hebat Sdn Bhd di sini kelmarin.
Dalam pada itu jelasnya, kawasan berkenaan sekarang dipenuhi dengan rumah setinggan dan penduduknya perlu dipindahkan ke kawasan baharu.
Sehubungan itu katanya, warga tempatan di kawasan itu akan dikenal pasti untuk dibina penempatan atau perkampungan baharu yang sesuai bagi penduduk terbabit.
Pihaknya turut mengenal pasti lokasi baharu untuk penempatan yang bakal didirikan di kawasan berdekatan iaitu di Kampung Tinagayan Laut.
“Kalau ikut bancian awal, kira-kira 200 Ketua Isi Rumah (KIR) terlibat menduduki kawasan berkenaan.
“Tapi jumlah itu masih dalam peringkat saringan awal sahaja dan kita akan buat tadbir urus dengan mereka bagi melihat perkembangan lanjut.
“Kita akan sediakan kira-kira 500 lot rumah untuk penduduk yang terlibat,” katanya.
Ditanya sama ada wujudnya golongan Palauh yang tinggal di kawasan itu, Joachim menjelaskan, perkara itu akan diteliti berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, Palauh ada di mana-mana di Sabah dan mereka juga bukan warganegara.
Justeru katanya, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi jika melibatkan golongan Palauh.
Pada majlis itu, LPPB diwakili oleh Pengerusi LPPB Datuk Masiung Banah dan Pengurus Besar LPPB Rosemary Ahping, manakala Pengarah Urusan Cepat Hebat Sdn Bhd Wilson Chong dan Goh Thian Teck mewakili syarikat berkenaan. – Utusan Borneo