KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil pendekatan baharu dengan mewujudkan lembaga berkaitan dengan industri pertanian bagi mempercepatkan pembangunan sector tersebut.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, penubuhan lembaga-lembaga tertentu dilakukan bagi memastikan tumpuan dapat diberikan secara menyeluruh untuk membangunkan industri pertanian.
Bagaimanapun, tidak semua cadangan pengwujudan lembaga itu dilaksana, ada yang dibuat pertimbangan sewajarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) semasa sesi penggulungan Belanjawan Negeri 2021, di DUN Sabah, pada Rabu lalu.
Mengenai pertanyaan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) tentang pelesanan laut dalam yang perlu diberikan kepada kerajaan negeri, Jeffrey berkata, perkara itu telah dibincangkan.
Jeffrey berkata, beliau akan memastikan usaha yang dilakukan kerajaan terdahulu dalam menuntut hak Sabah dalam pemberian lesen laut dalam. Walaupun dari segi prinsipnya, perkara ini telah dipersetujui namun, tuntutan akan diteruskan demi manfaat negeri Sabah.
Katanya, jika perlu enakmen perikanan Sabah juga akan diwujudkan.