Usah Kitar Semula Alasan, Selesai Segera Isu PATI Di Sabah – Vivian

Vivian-Hamzah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong mengkritik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang disifatkan “mengitar semula” jawapannya berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Beliau mendakwa jawapan yang diberikan Hamzah dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat hampir sama dengan kenyataan tahun lalu tanpa sebarang perkembangan baharu.

“Semasa sesi persidangan Parlimen tahun lepas, saya telah menyuarakan isu pendatang (PATI) ini sebagai ‘ibu kepada segala masalah kita’ di Sabah dan meminta kerajaan dengan tegas menetapkan strategi serta rancangan konkrit berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Menteri yang sama juga kemudiannya menjawab kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah dan jawatankuasa teknikal untuk menyelesaikan isu sekian lama ini dan boleh dianggap ‘titik kelemahan’ negeri ini.

“Hari ini (kelmarin) juga, menteri yang sama apabila ditekan berkenaan apakah yang telah dilakukan kerajaan untuk menangani masalah imigran di Sabah, beliau hanya mengulangi reaksi sama dari tahun lalu tanpa kemajuan yang nyata,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wong berkata, Hamzah dengan berani menyatakan isu PATI di Sabah memerlukan azam politik semua pihak dan kerajaan jelas kurang komitmen menangani masalah berkenaan.

“Jangan cuba menyalahkan masyarakat atas apa yang disebut menentang rancangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini.

“Apakah maknanya untuk membelanjakan duit pembayar cukai membina lebih banyak pusat tahanan untuk menempatkan pendatang asing ini? Ini juga sebenarnya tanda kegagalan peranan kerajaan mengurus dan mengawal isu pendatang asing ini.

“Cukup-cukuplah, laksanakan apa yang dikatakan atau letak jawatan kerana kita memerlukan tindakan segera daripada kerajaan,” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top