‘Urusan Air Di Sabah Hak Negeri’

shahelmey-3.jpg

Gambar hiasan: SHAHELMEY Yahya (empat kanan) semasa melawat loji rawatan air Moyog di Penampang, Januari lalu.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan menyerahkan urusan bekalan air di negeri itu kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi mengalu-alukan bantuan bakal diberi bagi mengatasi masalah air seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya, berkata segala perkara berhubung pengurusan air di Sabah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, mengakui kos penyelarasan dan pengurusan bekalan air di negeri itu membabitkan peruntukan yang sangat besar.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri memerlukan bantuan sama ada geran atau pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek bekalan air di Sabah demi kesejahteraan rakyat.

“Kita mengalu-alukan tawaran Perdana Menteri untuk membantu menyelesaikan masalah air di Sabah.

“Jika kita lihat video beliau ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan (Ahad lalu), kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri adalah Kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah air di Sabah dan Kelantan.

“Ia tidak secara spesifik mengatakan (Kerajaan Pusat) akan datang mengambil alih urusan air di Sabah, sebab urusan berkenaan air adalah urusan kerajaan negeri.

“Sebab itu, saya nyatakan kita mengalu-alukan bantuan Kerajaan Persekutuan tetapi bukan kita menyerahkan urusan air Sabah kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri di Hotel Raia di sini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury.

 

Sumber: BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top