UPKO Tiada Dalam Senarai Lantikan PH Sebab Penyertaan Belum Rasmi

Wilfred-Madius-Tangau-election-upko-sabah-1.jpg
Kongsi Bersama

Ketiadaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dalam senarai lantikan baru Pakatan Harapan (PH) semalam adalah kerana penyertaan parti Sabah itu ke dalam gabungan berkenaan belum rasmi lagi, menurut Fahmi Fadzil.

Kata pengarah komunikasi PH itu Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dijangka memuktamadkan soal dokumentasi berkenaan penyertaan parti terbabit hari ini.

“Kami masih belum lagi mendaftarkan Upko secara rasmi dengan PH kerana ia memerlukan banyak pengiraan (computations).

“Presiden Upko akan bertemu dengan kepemimpinan PH hari ini… untuk memuktamadkan segalanya dan menyerahkan dokumen,” katanya.

Kata Fahmi, Upko akan dilibatkan dalam pengumuman PH pada masa akan datang setelah ia berdaftar secara rasmi dengan gabungan itu.

Semalam, Majlis Presiden PH mengumumkan beberapa lantikan bagi mengukuhkan lagi gerak kerja PH di parlimen, di lapangan, serta menuju pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Antara lain, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai ketua setiausaha PH.

Ketua PDAP Howard Lee pula menerajui sayap pemuda gabungan berkenaan, manakala Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah memimpin sayap wanita.

Lantikan lain ialah Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub kini menjadi pengarah strategi PH dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilantik menjadi penyelaras ketua whip ahli parlimen.

Petang ini, pemimpin pembangkang dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memeterai memorandum persefahaman (MOU) untuk mewujudkan kestabilan kerajaan.

Majlis itu akan berlangsung di bangunan parlimen.

Presiden Upko akan turut terlibat bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam menandatangani perjanjian itu. – Malaysiakini

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top