UPKO sokong 1/3 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak

ewon.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

PUTATAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong agar komposisi satu pertiga kerusi parlimen diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.

Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, ini bukan sahaja berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi untuk memberi keseimbangan politik antara wilayah Borneo dengan Semenanjung.

“Tuntutan kita adalah 1/3 daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen haruslah diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Kita mahu 1/3 bukan hanya terkait dengan Perjanjian Malaysia 1963 tetapi perlu ada keseimbangan antara Wilayah Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Wilayah Semenanjung yang terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan UPKO Bahagian Putatan di Dewan Raya Kampung Duvanson Putatan, di sini semalam.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sentimen 3R iaitu berkaitan perkauman, agama dan institusi Diraja sering ditimbulkan semasa kempen pilihan raya di Semenanjung.

Oleh itu katanya, Wilayah Borneo (Sabah dan Sarawak) boleh menjadi pengimbang atau menonjolkan politik yang lebih sederhana.

“Sebab itu saya melihat ada kewajaran dan asas yang kuat untuk tuntutan kerusi parlimen satu pertiga,” katanya.

Ewon berkata, beliau sendiri akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang akan datang selepas mendapatkan input-input tambahan dari pelbagai pihak termasuk Biro Pilihanraya UPKO.

“Kita juga akan bincang senarai kawasan baru persempadanan dengan Ketua Menteri Sabah. Saya percaya parti-parti Sabah dan Sarawak sedang meneliti perkara ini dan kita masih ada ruang untuk membangkitkn perkara itu dalam pelbagai platform termasuk media, Dewan Rakyat, Dewan Negara, Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan MA63 dan Majlis Khas MATPMA63,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top