UPKO Putatan diaktifkan semula

marcus-mojigoh.jpg

Dr Marcus Mojigoh (tengah) kembali menerajui UPKO Putatan.

Kongsi Bersama

PUTATAN: Mantan Ahli Parlimen Putatan Datuk Dr. Marcus Mojigoh kini menerajui semula kepimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Putatan dengan keahlian 2,100 orang.

Pada awal 2020, beliau yang ketika itu Ketua Bahagian UPKO Putatan meninggalkan parti itu sebelum menyertai parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada 2021.

Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, dengan “kepulangan” pemimpin parti bahagian Putatan itu ke pangkuan UPKO, parti itu mengaktifkan semula UPKO Bahagian Putatan.

“Kita mengaktifkan semula UPKO Bahagian Putatan yang kembali dipimpin oleh mantan ketuanya Datuk Marcus dengan keahlian 2,100 orang setakat ini.

“Ini menunjukkan selepas berlakunya transisi kepimpinan dalam parti, maka tampil ahli-ahli baru sama ada yang pernah menjadi ahli parti dan pemimpin parti dan juga yang belum pernah menyertai mana-mana parti telah menyertai UPKO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan UPKO Bahagian Putatan di Dewan Raya Kampung Duvanson Putatan, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, dalam masa terdekat beliau akan menghadiri majlis penerimaan mantan ahli UPKO dan ahli-ahli baru di Keningau dan di beberapa bahagian lain seluruh Sabah.

“Saya melihat ini sebagai satu sokongan kepada parti dan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mereka menjadi sebahagian daripada proses pentadbiran kerajaan dengan menyatakan pandangan dan teguran kepada saya termasuk yang saya boleh bawa ke perbincangan sama ada di kabinet, pimpinan parti atau pimpinan Pakatan Harapan (PH) atau sekrateriat perpaduan,” katanya.

“Dalam Konvensyen Nasional UPKO pada bulan September lepas, saya menjemput kepada bekas-bekas pemimpin dan ahli parti kembali ke parti ini, juga kepada ahli-ahli baharu. Saya meminta ahli-ahli sedia ada agar tidak melabel mantan pemimpin dan ahli parti yang keluar, sebaliknya mengalu-alukan penyertaan semula mereka.

“Saya gembira kerana ini disambut baik di Putatan hari ini yang menyaksikan kepulangan semula Datuk Marcus serta pengaktifan semula bahagian ini yang kebanyakannya diterajui oleh profesional dan mantan pegawai kanan perkhidmatan awam,” katanya.

 

Berita asal: Nabalu News

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top