Upko Minta Kerajaan Bertegas Dengan Keputusan KPDNHEP Tubuh CMO di Sabah, Sarawak

madius.png
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) minta kerajaan bertegas dan tidak tunduk kepada bantahan beberapa pertubuhan muzik berhubung keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), yang bersetuju menubuhkan Collection Management Organisation (CMO) masing-masing untuk Sabah dan Sarawak.

Sambil menyokong keputusan KPDNHEP itu, Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, pembangunan industri muzik di Sabah memerlukan desentralisasi dalam urustadbir dan kawal selia hak harta intelektual.

“UPKO meminta pihak kerajaan supaya tidak terpengaruh dengan bantahan yang dikemukakan tiga pertubuhan iaitu Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM) dan Music Authors Copyright (MSCP) terhadap keputusan yang telah dibuat KPDNHEP.

“UPKO menyokong penuh agar kerajaan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Persatuan Komposer Pembikinan Video Musik Sabah (SCORE) dan Persatuan Armada ANAK Seni Sarawak (ARAS) supaya diberi lesen oleh pihak MyIPO menubuhkan CMO masing-masing untuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, semalam.

Madius berkata, UPKO juga meminta Kerajaan Sabah dan Sarawak masing-masing menubuhkan Enakmen Harta Intelektual bagi mengawal selia hak-hak harta Intelektual di kedua-dua wilayah.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada SCORE dan ARAS sejak empat tahun yang lalu atas kecekalan memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak dalam industri muzik yang telah diabaikan selama lebih 30 tahun.

“Hakikatnya, Sabah dan Sarawak mempunyai bakat-bakat dalam seni suara dan seni muzik yang luar biasa, namun ketinggalan 30 tahun dibelakang Malaya akibat daripada pemusatan kuasa yang keterlaluan di Putrajaya dan kegagalan badan-badan yang berkewajiban untuk membangun, membimbing dan memajukan industri muzik di Sabah.

“Pembangunan industri muzik di Sabah memerlukan desentralisasi dalam urustadbir dan kawal selia hak harta intelektual dan hentikan pemusatan yang keterlaluan di Putrajaya,” katanya.

 

Sumber – Nabalu News


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top