KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan hasrat untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata ia bagi memastikan parti itu dapat memenangi sebanyak mungkin kerusi berbanding hanya satu kerusi pada PRN lalu daripada 12 kerusi yang ditandingi.
Katanya, kemenangan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian pada PRN 2020 juga akan dipertahankan, selain dijadikan inspirasi untuk memenangi kerusi lain.
“Kita harus pertahankan kemenangan di DUN Kadamaian dan perlu menang di kawasan lain. Ini bererti UPKO perlu bertanding lebih banyak kerusi pada PRN Sabah akan datang.
“Saya ingin memberi indikasi kepada semua yang beraspirasi untuk menjadi calon dan mahu memenangi sokongan rakyat pada PRN nanti, jadikan Kadamaian sebagai inspirasi dan motivasi.
“Kadamaian menjadi kekuatan UPKO kerana pendekatan dan kreativiti pimpinan di sana walaupun menunggu sehingga 13 tahun untuk menanam, menyubur serta menyegarkan sokongan rakyat sebelum bertanding dalam PRN,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Konvensyen Nasional UPKO di Manggatal, dekat sini, semalam.
UPKO kini adalah sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan (PH) bersama PKR, DAP dan AMANAH.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, bagaimanapun, berkata keputusan pemilihan kerusi ditandingi bukan hanya berasaskan keinginan untuk bertanding semata-mata, sebaliknya mesti ada asas yang kuat.
“Saya tidak mahu membuat keputusan hanya berasaskan keinginan mahu bertanding semata-mata tanpa didukung dengan asas dan inti yang kuat kerana kita mahu menang, bukan untuk kalah,” katanya.
Sementara itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata UPKO menyokong agenda ‘reform’ Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, agenda ‘reform’ itu antaranya pengolahbaikan struktur ekonomi, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Umum, akta pendanaan politik dan perundangan menangani isu 3R (agama, raja dan kaum)
“UPKO menyokong ‘reform’ ekonomi yang dicetuskan Perdana Menteri sepertimana diserlahkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI di mana kerajaan meletakkan visi untuk meningkatkan siling dan menaikkan lantai bagi mengangkat martabat ekonomi termasuk memperkenalkan dasar gaji progresif sektor swasta dan memperbaiki gaji sektor perkhidmatan awam.
“Kerajaan juga membincangkan agenda pemisahan fungsi ‘Attorney General’ dan ‘Public Prosecutor’. UPKO mahu ‘reform’ ini dilaksanakan dalam penggal kepemimpinan Perdana Menteri ini,” katanya. – BHarian