Upko digesa berhenti tuntut tambahan kerusi

datuk-john-ambrose.jpg

Datuk John Ambrose

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Upko digesa supaya berhenti menuntut untuk bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri Sabah akan datang, lapor Daily Express.

Ketika membuat gesaan itu Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk John Ambrose berkata Upko tidak seharusnya menuntut kerusi yang komponen Pakatan Harapan (PH) “tiada peluang untuk memenanginya”.

Gagasan Rakyat merupakan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah Sabah dengan sokongan PH Sabah, yang turut disertai Upko.

“Semua orang mahu menjadi calon. Setiap parti mahukan lebih banyak kerusi. Tetapi keputusan akhir yang dikira sama ada seseorang itu boleh memenanginya atau tidak, atau ia akan mengheret seluruh gabungan itu ke bawah,” kata Ambrose pada Isnin.

Beliau berkata walaupun bertanding bersama Warisan dan komponen PH yang lain pada PRN lalu, Upko hanya berjaya menang satu kerusi sungguhpun bertanding 12 kerusi.

Beliau menambah bahawa Upko hanya memenangi kerusi Parlimen Penampang dan Tuaran pada pilihan raya umum ke-15 kerana sokongan PH.

“Tanpa sokongan PH di Penampang dan Tuaran, ia akan menjadi satu tugas yang sukar untuk Upko kerana parti itu memperjuangkan blok undi yang sama dengan komponen GRS,” katanya.

Ambrose membuat kenyataan itu selepas presiden Upko Datuk Ewon Benedick dilaporkan berkata parti itu berhasrat bertanding lebih banyak kerusi dalam PRN Sabah akan datang.

Ewon juga menggesa formula baharu mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan parti dalam kerajaan Sabah pimpinan GRS.

Ambrose berkata tuntutan harus bukan dijadikan keutamaan kerana fokus mestilah diberi kepada kepentingan rakyat.

“Agihan kerusi bagi pilihan raya negeri ke-17 hanya perlu dibincangkan apabila DUN dibubarkan, malah ia perlu diadakan secara dalaman di kalangan pemimpin pelbagai parti.

“Dengan pilihan raya negeri hanya akan berlangsung dalam tempoh lebih satu setengah tahun, komponen GRS dan rakan PH harus menumpukan perhatian kepada perkhidmatan untuk rakyat dan mengukuhkan parti mereka,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top