KADAMAIAN: Presiden STARSABAH Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata “Unity Is Duty”, satu tanggungjawab rakyat demi mencapai tuntutan hak-hak Sabah sepenuhnya, dan dapat direalisasikan melalui pemuafakatan antara parti-parti politik tempatan menjelang PRN17.
Jelasnya, sudah tiba masanya untuk mengubah keadaan daripada “dipecah dan diperintah” kepada “kesatuan” sebagai anjakan paradigma politik Sabah, ke arah mendapatkan kuasa dan kekuatan yang dapat mengangkat Sabah ke hadapan untuk faedah rakyat dan negeri.
“Sekarang masanya sudah tiba untuk kita bersatu, untuk semua pemimpin-pemimpin tidak kira dari mana-mana parti, untuk keuntungan negeri kita,” katanya.
Kitingan berkata demikian dalam Majlis Jerayawara Solidariti Bersama Rakyat Sabah, di Kadamaian Square, Pekan Taginambur, Kota Belud, kelmarin.
Mengenai kelayakan mengundi beliau berkata, kini kelayakan itu telah diturunkan dari 21 kepada 18 tahun, yang mana turut meletakkan tanggungjawab masa depan Sabah ke tangan generasi muda.
“Inilah belia yang perlu mendapatkan pendedahan supaya berjuang untuk hak-hak Sabah, supaya menjadikan Sabah ini sebuah negeri atau negara, bebas dan merdeka, dan boleh maju seperti negara-negara jiran,” katanya.
Beliau juga berkata, Sabah dan Sarawak akan bersama-sama menikmati kesan perkembangan dan kemajuan akibat pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara, Kalimantan, kerana ia berada di dalam Pulau Borneo.
Selain itu katanya, Sabah berada pada kedudukan strategik seperti Singapura, tetapi tidak akan ada perubahan sekiranya rakyat dan pemimpin Sabah tidak bersatu.
“Kita perlu ada kesedaran dengan pengetahuan tentang apa yang perlu dilakukan. Kedua, harus bersatu. Ketiga, kita harus bertindak,” tegasnya.
Pada majlis itu Kitingan turut menyampaikan watikah perlantikan Ketua Bahagian Kadamaian, Datuk Rubin Guriba, bersama ahli-ahli jawatankuasa yang baharu.
Turut hadir Ketua Bahagian PBS Kadamaian Demis Rumanti, Ketua Pemuda PGRS Kadamaian Azri Kamsah, dan Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kadamaian, Carlyle Lajimin.
Sumber: Jeffrey G. Kitingan Page