NABAWAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sentiasa berusaha memastikan masyarakat peladang dapat memainkan peranan yang aktif dalam meningkatkan sumbangan berkesan di sektor agro-makanan negara, termasuklah di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurut Timbalan Menteri, Datuk Arthur Joseph Kurup, inisatif-insiatif yang disalurkan melalui pertubuhan-pertubuhan peladang adalah untuk memberi nafas baharu kepada sektor agro-makanan melalui mengadaptasikan penerapan teknologi automasi dan mekanisasi terkini, smart-precision farming, pendigitalan pengeluaran dan bagi menguasai rantaian pengeluaran berskala besar.
“Ini sekali gus dapat membantu kerajaan dalam keterjaminan makanan negara khususnya di Wilayah Sabah,” katanya.
Tambah beliau, di bawah Peruntukan Pembangunan Rolling Plan Ke-4 (2024) Lembaga Pertubuhan Peladang telah menyalurkan peruntukan geran pembangunan berjumlah RM4.1 juta untuk Wilayah Sabah bagi membiayai pelbagai projek-projek Pembangunan seperti AgriPRENTICE, Pemerkasaan Usahawan Peladang (RISE-UP), Pembangunan Pusat Lepas Tuai dan lain-lain.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Perasmian Unit Peladang Pagalungan hari ini.
Unit Peladang tersebut merupakan yang ke-29 bagi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan dan mencatatkan pertambahan keahlian seramai 120 orang kepada jumlah keseluruhan 3,620 orang.
Bagi Wilayah Sabah, terdapat satu Pertubuhan Peladang Negeri dengan 27 PPK yang memayungi sebanyak 836 Unit Peladang.
“Dengan menyertai pertubuhan peladang, kita dapat menyusun langkah yang membolehkan peladang sendiri mengendalikan pemasaran hasil-hasil pertanian terutamanya hasil komoditi, tanaman kontan seperti kacang tanah, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan mewujudkan `Peladang Outlet’, Pasar Peladang, Jualan Agro MADANI dan sebagainya,” kata Arthur.
Jelasnya lagi, ahli pertubuhan peladang turut mendapat keutamaan dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan LPP seperti nasihat projek, pengangkutan, pemprosesan hasil, pemasaran, pengedaran baja, kejenteraan dan kemudahan kredit.
Beliau berharap dengan penubuhan Unit Peladang Pagalungan akan memudahkan KPKM melalui jabatan dan agensi pelaksana di bawahnya menyalurkan segala bantuan kepada golongan sasar dengan lebih berkesan dan teratur.
Program turut diselitkan dengan Mini Jualan Agro Madani melibatkan usahawan peladang di bawah bimbingan Pertubuhan Peladang yang menawarkan pelbagai hasil pertanian segar dari ladang seperti daging segar, ikan, sayuran, beras dan barangan keperluan asas harian dengan harga yang berpatutan.
Hadir sama, Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin; Pengarah LPP Sabah, Hadriyani Ahmad dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Nabawan, Marutin Ansiung.