Undian Peringkat Dasar Bajet 2022: Leiking Bidas Rakan Pembangkang

darell-leiking-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking kecewa terhadap rakan pembangkang lain yang tidak menyokong gesaan mengundi secara belah bahagi, dalam pengundian peringkat dasar meluluskan Bajet 2022, semalam.

Portal berita FMT melaporkan Timbalan Presiden Warisan itu sebagai berkata pengundian belah bahagi akan lebih memaparkan kekecewaan rakyat Malaysia berkenaan bajet terbabit, terutama peruntukan tidak adil kepada Sabah dan Sarawak.

“Mereka (rakyat) mahu kita bercakap untuk mereka,” katanya kepada FMT.

Katanya, hanya partinya, selain MUDA dan Pejuang, membuat keputusan pengundian secara belah bahagi.

“Mengambil kira kritikan yang ditujukan terhadap bajet ini, yang lain (pembangkang) sepatutnya berdiri bersama kami berhubung ketidakadilan dalam bajet berkenaan,” katanya.

Pengkritik sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati kerana bajet terbabit dilihat terlalu menumpukan Bumiputera, manakala ahli politik dari Malaysia Timur, merungut berhubung peruntukan kecil kepada Sabah dan Sarawak, masing-masing menerima RM5.2 billion dan RM4.6 billion.

Darell berkata memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sepatutnya tidak menapis “rungutan rakyat biasa yang tidak didengari”.

Walaupun sebelum ini, kepimpinan pembangkang memberi jaminan perjanjian MoU berkenaan tidak akan menghalang mereka dalam proses semak dan imbang terhadap kerajaan, Darell mempersoalkan adakah jaminan berkenaan terhenti setakat mengkritik semata-mata.

Katanya, peruntukan yang dianggap tidak munasabah kepada Sabah dan Sarawak, termasuk kepada komuniti lain menjadi alasan kukuh kepada pembangkang menolak bajet ini.

“Sudah jelas terbukti. Ia seperti kerajaan Ismail Sabri mengambil kesempatan mengawal pembangkang dengan MoU,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top