Undi Percaya Bukan Untuk Mengesahkan Perkenan Agong Lantik PM: Shamrahayu

shamrahayu.jpg
Kongsi Bersama

Assalamu’alaikum wrt wbt untuk semua.

Saya menulis kali ini untuk menegaskan pandangan saya tentang undi percaya kepada Perdana Menteri yang baharu dilantik, terutamanya pelantikan bukan hasil daripada pilihan raya.

Sebelum saya menjawab isu utama bagi tujuan penulisan ini, saya mahu menyatakan beberapa perkara tentang kedudukan undang-undang:

1. Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri.

2. Tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya. Ia adalah amalan atau adat perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.

3. Pelantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan.

4. Sekiranya Tuanku titah untuk diadakan undi percaya, itu adalah bagi tujuan mengukuhkan kedudukan seorang perdana menteri, atau sesebuah kerjaan, BUKAN untuk memberi pengesahan kepada perkenan yang telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang saya perlu tegaskan tentang isu utama di sini ialah:

1. Kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah amat berwibawa dan ia tidak perlu disahkan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen. Maksudnya tiada sesiapa pun boleh mempertikaikannya.

2. Ia adalah kuasa budi bicara Baginda. Membenarkan ia wajib disahkan oleh parlimen dalam apa cara sekalipun ia akan merendah-rendahkan kuasa budibicara/perkenan baginda.

3. Parlimen adalah badan yang patut menurut dan taat kepada perkenan baginda.

4. Justeru, Kalaupun baginda titahkan untuk dibuat undi percaya, ia bukan bertujuan mengesahkan atau memberikan keabsahan kepada lantikan yang telah diberi perkenan oleh baginda.

5. Tindakan mendapatkan undi percaya itu adalah bagi mengukuhkan kerajaan. Dan melaksanakan titah ini adalah baik untuk kerajaan itu sendiri walaupun ia adalah hanya adat perlembagaan.

6. Saya mengambil berat tentang fungsi perkenan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong kerana saya tidak mahu kemudian hari nanti orang ramai atau para pemain demokrasi menyatakan perkenan Yang di-Pertuan Agong tersebut boleh disahkan oleh Parlimen.

7. Sekiranya hal ini (memberikan kuasa kepada parlimen untuk mengesahkan perkenan Yang di-Pertuan Agong) berlaku ia amatlah tidak baik sama sekali kepada kuasa budi bicara dan kemuliaan Yang di-Pertuan Agong.

8. Akhir sekali, sekiranya para pembaca meneliti semua kenyataan saya sebelum ini, saya tegaskan lagi, kerajaan hendaklah mengambil langkah untuk mengukuhkan kedudukan mereka, dan mengambil tauladan daripada apa yang berlaku kepada kerajaan sebelum ini.

9. Seterusnya, penegasan saya ialah, undi percaya bukan untuk menjadikan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas lantikan Perdana Menteri itu sah. Ini kerana Parlimen tidak diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk memberi pengesahan kepada kuasa Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

 

Prof Madya Shamrahayu Abdul Aziz
Pakar Perlembagaan

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top