KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited melaksanakan program pendidikan inovatif dan berfokus kepada keperluan semasa pasaran kerja.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata hasil pendekatan itu UMS berjaya merekodkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi mencapai 98.3 peratus pada tahun lalu.
Katanya, UMS akan terus menghidupkan budaya inovasi yang menjadi kunci pembangunan berterusan sejajar keadaan dunia yang semakin kompleks dan cabaran besar pada masa ini.
“Universiti Malaysia Sabah ini terkenal dengan program pendidikan yang inovatif dan berfokus kepada keperluan semasa pasaran kerja.
“Berdasarkan statistik kebolehpasaran graduan 2022, UMS merekodkan kadar peningkatan yang tinggi dengan jumlah 98.3 peratus berbanding peratusan tahun sebelumnya.
“Melalui usaha gigih dan semangat inovatif, UMS akan terus memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan penutupan Borneo Hackathon 2023, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Prof Madya Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi.
Program berkenaan dijayakan bersama Fakulti Komputeran dan Informatik UMS dan U-Science UMS dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI).
Yang turut hadir ialah Pengarah Pustakawan Perpustakaan UMS, Md Sazali Md Salleh; Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin; Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri UMS, Dr Chin Pei Yee dan Pengarah Program Borneo Hackathon 2023, Joeyanatasa Jona Dapanis.
Kasim berkata, Borneo Hackathon adalah satu inisiatif yang dapat memberikan impak positif dan peluang kepada generasi masa kini untuk membabitkan diri dalam program yang dapat meningkatkan pembangunan belia.
Katanya, program itu menumpukan pengaplikasian konsep sains, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang penting dalam kehidupan seharian.
“Program ini juga dapat membantu mengasah kreativiti dan mencungkil bakat belia yang berpotensi membuat pencapaian dalam bidang inovasi STEM.
“Di samping itu, program ini juga memberi peluang kepada semua peserta daripada pelbagai latar belakang untuk menjalin kerjasama.
“Tuntasnya, Borneo Hackathon ini adalah medium terbaik kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha meningkatkan kualiti mahasiswa agar lebih berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Ogos itu disertai seramai 33 peserta yang terdiri daripada pelajar UMS, Tunku Abdul Rahman University Of Management And Technology Sabah (TARUMT); Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Sepanjang tiga hari program berkenaan, peserta menunjukkan bakat inovasi masing-masing untuk menyelesaikan empat tema penyelesaian masalah berkaitan kesihatan, pendidikan, pertumbuhan ekonomi serta komuniti dan bandar raya mapan. – BHarian