UMS Sedia Bantuan RM1.25 Juta Untuk Pelan Data, Komputer Riba

UMS.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan RM1.25 juta bantuan pelan data dan komputer riba bagi membantu pelajar prasiswazah golongan B40 menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM255,420 adalah untuk bantuan pelan data yang akan memanfaatkan seramai 1,928 pelajar.

Katanya, baki RM1 juta adalah dana untuk bantuan komputer riba kepada 714 pelajar B40 dengan 619 pelajar dari Sabah, manakala seramai 37 pelajar dari Sarawak dan 58 pelajar lagi dari Semenanjung.

Beliau berkata, peruntukan itu diperolehi daripada Tabung Amanah Kebajikan Pelajar UMS.

“Bagi bantuan pelan data, pelajar sudah menerima bantuan secara berperingkat bermula 8 Disember lalu.

“Bantuan ini adalah antara enam inisiatif di bawah UMS Prihatin kepada semua pelajar UMS melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai komitmen pihak UMS dalam menitikberatkan soal kebajikan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Pelan Data Dan Komputer Riba 2020 yang disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UMS selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Datin Nurlaila Said di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin; Bendahari UMS, Zallifah Shadan; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kamisah Husin.

Taufiq berkata, bagi bantuan komputer riba, pelajar terpilih akan menerima sebuah komputer riba bernilai RM1,400 yang akan diserahkan terus kepada pelajar selepas melengkapkan borang setuju terima dan surat perjanjian.

Beliau menambah, UMS turut membelanjakan RM20,000 untuk bantuan bank makanan kepada pelajar selain sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik UMS.

Pada masa yang sama, katanya seramai 8,792 pelajar UMS turut menikmati bantuan pengecualian yuran kolej kediaman membabitkan peruntukan kira-kira RM1.9 juta.

Selain itu, katanya melalui inisiatif UMS Prihatin, pelajar universiti itu menerima semula yuran pengajian bagi Semester 1, sesi Akademik 2020/2021 berjumlah RM51 yang dipulangkan pihak UMS.

“Saya berharap bantuan yang diberikan ini serba sedikit dapat meringankan beban pelajar UMS,” katanya.-HMetro

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top