UMS Bantu Kawal Covid-19 – Tun Juhar

tun-juhar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Walaupun berdepan dengan cabaran menghadapi wabak COVID-19, Universiti Malaysia Sabah (UMS) memainkan peranan membantu pelajar dan kerajaan Sabah mengawal penularan COVID-19.

Yang di-Pertua Negeri Sabah yang juga Canselor UMS, Tun Juhar Mahiruddin, berkata UMS sebagai institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan bukan sahaja membantu graduan dan masyarakat, malah berterusan menawarkan ilmu dan kepakaran terhadap usaha kerajaan mengawal penularan COVID-19.

“Kita juga bersyukur kerana proses pengajaran dan pembelajaran masih dapat dilaksanakan dengan menggunakan kaedah secara dalam talian.

“Sesuai dengan amalan normal baharu disebabkan COVID-19, UMS berjaya melaksanakan pendaftaran pelajar baharu secara dalam talian.

“Pada semester pertama, sesi 2020/2021 ini, UMS menerima seramai 4,972 pelajar baharu yang terdiri dari 3,973 orang pelajar prasiswazah, 567 pelajar pascasiswazah, dan 432 orang pelajar Program Asasi yang mendaftar secara atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perisytiharan Konvokesyen UMS Ke-22 Tahun 2020 secara langsung dalam laman media sosial rasmi Facebook, kelmarin.

Juhar berkata, sepanjang pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP), UMS memastikan kesejahteraan pelajar yang berada di dalam kampus dan kawasan sekitar kampus sentiasa terjaga.

“Pelbagai bantuan diberikan kepada pelajar termasuk wang tunai, makanan, sokongan moral dan psikologi, pengurangan caj yuran asrama, serta perkhidmatan kesihatan.

“UMS juga memastikan pelajar pulang ke kampung halaman mereka masing-masing dengan selamat melalui “Ops Gerak Malaysia Pelajar IPTA/IPTS Zon Sabah”, pada 6 Mei hingga 4 Jun lepas.

“Sebagai tanda keperihatinan dan hasrat untuk membantu pelajar yang memerlukan, UMS telah melancarkan bantuan “UMS Prihatin” yang menawarkan bantuan My Care sebanyak RM200 bantuan Pinjaman Jangka Pendek sebanyak RM500, bantuan Pelan Data kepada 1,700 orang pelajar kategori B40, bantuan komputer riba, dan pengurangan yuran pengajian sebanyak RM51 kepada semua pelajar UMS,” katanya.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top