UMNO Wajar Ada Jawatan Naib Presiden Wanita – Shahrizat

shahrizat.jpg
Kongsi Bersama

MELAKA: UMNO mungkin sudah memiliki Naib Presiden wanita pertama, sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Mendedahkan perkara itu, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, usaha untuk meminda perlembagaan parti bagi mewujudkan kuota khas wanita untuk jawatan Naib Presiden sudah pun berjalan ketika era Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ia terkandas selepas kekalahan pada 2018.

Beliau mengakui berasa terkilan gagal merealisasikan perkara tersebut, kerana percaya melaluinya martabat golongan ibu dalam pentas politik dapat diarusperdanakan seperti peranan kaum bapa.

Shahrizat memberitahu, walaupun posisi Ketua Wanita kini diiktiraf setara dengan Timbalan Presiden, pengiktirafan sedemikian dilihat kurang memberikan kesan dalam dunia politik.

“Oleh kerana saya minat untuk mengarusperdanakan wanita dalam politik, misi saya untuk melihat wanita memegang jawatan membuat keputusan. Tapi memang susah nak dapat. Saya sudah minta, sudah nak dapat kemudian tak jadi selepas saya undur diri.

“Kita ada Naib Presiden tiga, memang susah untuk wanita menang jawatan itu. Saya syorkan pinda Perlembagaan UMNO wujudkan satu kerusi untuk Naib Presiden wanita. Walaupun masa saya taraf Ketua Wanita bertaraf Naib Presiden, ia tetap tidak sama.

“Kerusi Naib Presiden wanita ini hanya akan ditandingi oleh wanita sahaja. Itu yang saya ralat sebab tak dapat tunaikan,” katanya ketika menjadi panel Bicara Tokoh Politik: Wanita Malaysia Merdeka.

Program secara dalam talian itu dianjurkan Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka dan turut menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2019, parti itu meminda perlembagaannya bagi mengangkat kedudukan Ketua Wanita setaraf Timbalan Presiden.- UTUSAN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top