KUALA LUMPUR: Mesyuarat ketua bahagian UMNO dari seluruh negara bersama Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memutuskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP, sebaliknya memperkukuhkan kerjasama dengan PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketua bahagian parti itu bagaimanapun tidak membincangkan sebarang bentuk kerjasama dengan PKR dan Amanah yang menjadi sekutu DAP dalam Pakatan Harapan (PH).
“Setakat ini, yang diputuskan hari ini ialah kita tidak bekerjasama dengan DAP. Kita juga putuskan untuk terus perkukuh kerjasama dengan PAS, selepas itu GPS,” kata beliau selepas pertemuan Zahid dengan ketua bahagian parti itu.
“Kita tiada bincang perundingan dengan parti lain (PKR dan Amanah), selain (PAS dan GPS). Itu kita tunggu dan lihat kemudian, keputusan Majlis Kerja Tertinggi esok malam adalah amat penting.”