KOTA KINABALU: Umno tidak akan bertanding di kerusi P.174 Penampang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.
“Calon itu bukan dari Umno. Saya boleh mengesahkan itu,” kata Ketua Umno Bahagian Penampang Datuk Mohd Hasnol Datuk Ayub, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Penampang.
Tambahnya, beliau berharap calon yang akan bertanding di kerusi parlimen itu datang daripada BN.
“Saya yakin parti BN di Penampang lebih kuat, atau setanding dengan parti lain yang kita akan bekerjasama,” katanya pada majlis pelancaran Pergerakan Wanita Umno, Pergerakan Pemuda, Puteri Umno dan Umno Bahagian Penampang 2022 di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort pada Ahad. Turut dilancarkan adalah jentera pilihan raya parti untuk Penampang.
Bagaimanapun, beliau berkata mereka akan menghormati keputusan pimpinan atasan sekiranya mereka dikehendaki menyokong parti lain yang bekerjasama dengan BN.
“Tetapi harapan kami adalah supaya calon daripada BN diletakkan di Penampang,” katanya.
Hasnol menambah, mereka masih dalam kegelapan mengenai calon yang akan diletakkan di kerusi itu.
Parti gabungan dalam BN ialah Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA).
Hasnol turut mengingatkan perwakilan yang hadir bahawa PRU-15 adalah penting kerana ia akan menentukan masa depan anak dan cucu mereka.
Beliau juga berkata kerajaan sekarang tidak kuat kerana diterajui oleh pelbagai pihak, dan kerana negara berdepan dengan situasi sedemikian adalah elok untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang lebih kuat yang mampu memastikan kestabilan dan masa hadapan yang lebib baik.
“Apa yang penting ialah BN bekerjasama — Umno, PBRS, MIC dan MCA. Ini jelas. Kita tunjukkan di Penampang, kita tiada masalah untuk bekerjasama,” katanya.
Berita asal: The Borneo Post