UMNO tidak membuat keputusan untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) malam tadi walaupun kenyataan pemimpin tertinggi parti itu sejak akhir-akhir ini menjurus kepada mahu meninggalkan blok kerajaan.
Keputusan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama tiga jam tanpa sidang media walaupun ramai pemberita berkumpul mengharapkan sidang media Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua Penerangan Shahril Hamdan.
Kenyataan itu berkata, UMNO akan mengkaji semua usul dibangkitkan 189 bahagian seluruh Malaysia.
Antaranya, usul untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang dan mengukuhkan kerjasama dengan PAS.
Usul-usul itu akan dibawa dalam perhimpunan agung parti itu yang akan diadakan pada 31 Januari ini.
Zahid dan sekutunya dalam UMNO baru-baru ini lantang mengkritik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan membayangkan akanmenarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN.
Kenyataan itu turut menyatakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah bersetuju untuk membenarkan setiausaha agung UMNO memegang jawatan sama dalam gabungan itu.
Semalam UMNO memecat Tan Sri Annuar Musa sebagai setiausaha agung BN menyebabkan parti komponen seperti MCA dan MIC membantah kerana tidak dibincangkan dengan mereka.
Annuar pada sidang media hari ini mengatakan pemecatannya disebabkan bantahan terhadap kerjasama Zahid dan sekutunya dalam UMNO dengan Pakatan Harapan.