KUALA LUMPUR: UMNO meneliti tindakan disiplin terhadap bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin selepas menuduh terdapat perwakilan ‘hantu’ yang dibawa masuk untuk menyokong usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Perkara itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan penggulungan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini semalam.
“Itu satu perkara lain yang akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin dan dibawa ke jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan bekas Ketua Bahagiannya (Datuk Seri Mohamad Hassan),” katanya.
Berhubung tuduhan perwakilan hantu, Ahmad Zahid hanya menjawab: “Mana boleh masuk kalau tak ada kad ini,” katanya sambil menunjukkan pas rasmi perwakilan.
Terdahulu, media melaporkan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di sini, ditanggalkan untuk undian usul pada Perhimpunan Agung UMNO.
Menerusi satu video di akaun TikTok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. – UTUSAN