UMNO Sabah Wujudkan Jabatan Urusan Pilihan Raya

umno-sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mewujudkan Jabatan Urusan Pilihan Raya (Juara) yang berperanan menyelaras dan melaksanakan pelbagai program bagi mendekati ahli serta rakyat di peringkat akar umbi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata Juara, yang akan dilancarkan pada awal tahun depan itu, juga bertujuan untuk memperkasa lagi kekuatan parti itu di negeri ini.

“Melalui sekretariat ini, pelbagai program mengikut sekretariat masing-masing akan digerakkan untuk mendekati ahli dan rakyat di peringkat akar umbi,” menurutnya dalam kenyataan di sini semalam.

Juara akan dipengerusikan Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Timbalannya Datuk Mohd Rafi Ali Hasan, manakala Pengawai Kerja UMNO Sabah Hashim Mohd Soon (Setiausaha), Ketua UMNO Libaran Suhaimi Nasir (Bendahari) dan Ketua UMNO Tenom Datuk Raime Unggi (Ketua Penerangan).

Di peringkat sekretariat, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah  Shahelmey Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat akan mempengerusikan Sekretariat Penyelidikan, manakala ADUN Pantai Dalit Jasni Daya bagi Sekretariat Big Data.

Tiga lagi sekretariat iaitu Sekretariat Komunikasi Strategik, Sekretariat Latihan dan Sekretariat Naziran masing-masing dipengerusikan oleh ADUN Tempasuk Arshad Bistari, ADUN Sungai Manila Mokran Singkat serta ADUN Pantai Manis Tamin Zainal.

Bung Moktar berkata usaha memperkuatkan parti akan lebih teratur dan sistemetik melalui gerak kerja yang dilaksanakan oleh sekretariat terbabit.

Sementara itu, Bung Moktar menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Datuk Kadzim M. Yahya atas sumbangan beliau selama berkhidmat bersama UMNO negeri hampir 30 tahun dengan penuh cemerlang.

Kadzim yang dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang baharu pada Oktober lepas digantikan oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort Awang Aslee Lakat berkuat kuasa 1 Nov.

 

— BERNAMA

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top