KOTA KINABALU: UMNO Sabah secara tegas menolak untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) termasuk dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.
Ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin bekerja, kerjasama antara parti tersebut tidak akan terjadi susulan sejarah yang dilalui bersama Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Kita tahu banyak parti di Sabah ini menyatakan mereka parti tempatan, PBS contohnya. PBS satu-satunya parti yang kita tidak boleh bekerjasama.
“Dia (PBS) tikam BN dua… tiga kali. Tahun 1990 dia keluar semasa selepas penamaan calon, ingat? Dia menang 14 kerusi Parlimen sebab dia menipu BN,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian.
Laporan itu menyebut Bung Moktar berkata demikian ketika berucap pada perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sepanggar, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut mengingatkan PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bahawa UMNO Sabah tidak gentar untuk berhadapan dengan mereka dalam PRN kali ini.
“Hari ini banyak pemimpin lantang menyatakan tolak UMNO sebab parti Malaya (Semenanjung). Saya ingin jelaskan kepada PBS, kepada STAR, jangan main-main dengan UMNO Sabah kita tidak gentar sebab kita telah bersedia.
“Saya yakin, Presiden kami janji, UMNO Sabah dalam pilihan raya akan datang kita akan dapat banyak kerusi daripada PRN yang lalu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag mahu jentera di negeri ini turun padang untuk mengesan pengundi masing-masing bagi memastikan kemenangan parti pada PRN nanti.