Umno Sabah Tak Akan Khianati Rakan GRS, Kata Bung Moktar

bung-and-umno-sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Umno Sabah tidak akan mengkhianati jalinan kerjasamanya dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan berharap agar pendirian sama dipegang rakan lain dalam gabungan itu, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, perkara ini penting kerana kerjasama tersebut membolehkan GRS membentuk kerajaan negeri dan Umno Sabah akan terus bersama-sama rakan parti lain untuk mengukuhkan kerajaan negeri bagi membela nasib rakyat.

“Jaminan (untuk terus bersama rakan GRS) sentiasa ada, ini bergantung kepada keikhlasan kita semua, Umno memang ikhlas, kita tidak akan mengkhianati rakan kita dan kita juga minta rakan jangan mengkhianati kita, walau siapa sahaja rakan kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah hari ini.

GRS, yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 38 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September lepas.

Parti dalam gabungan PN pula terdiri daripada Bersatu, SAPP dan Star manakala BN terdiri daripada Umno, MIC, MCA dan PBRS.

Ditanya mengenai spekulasi perkembangan politik di Perak akan menular ke Sabah, Bung Moktar berkata situasi di kedua-dua negeri tidak sepatutnya disamakan kerana masing-masing memiliki sentimen tersendiri.

“Kita di Sabah ada sentimen sendiri, kita utamakan kepentingan rakyat, yang penting kita harapkan pemimpin-pemimpin di Sabah memahami antara satu sama lain, bermakna kita mesti… tidak boleh berpecah, jika berpecah akibatnya rugi,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top