Umno Sabah Minta Kerajaan Negeri Laksana Gaji Minimum Secara Menyeluruh

ghazali-ansing.jpg

Ghazalie (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran menguatkuasakan gaji minimum secara menyeluruh di semua peringkat tanpa tanpa mengira sama ada kakitangan tetap atau sambilan.

Ketika membuat saranan itu, Pengarah Komunikasi Umno Sabah Ghazalie Ansing, berkata masih ada pekerja agensi kerajaan negeri menerima gaji di bawah paras gaji minimum RM1,200 sebelum ini.

“Meskipun gaji minimum sebelum ini pada kadar RM1,200 sebulan, namun masih ada pekerja harian yang terabai dengan gaji pokok yang tidak berubah walaupun sudah 20 tahun berkhidmat,” katanya dalam kenyataan.

Ghazalie juga memberi contoh gaji sebulan sebanyak RM968 yang diterima pekerja harian di sebuah agensi di bawah Jabatan Pertanian Sabah sejak 2002, tetapi tidak pernah dinaikkan sehingga hari ini.

“Apa dasar kerajaan sehingga gaji pekerja ini tidak pernah dinaikkan selama 20 tahun bekerja? Bukankah kerajaan telah menetapkan gaji minimum sebelum ini RM1,200 dan bakal dinaikkan kepada RM1,500.

“Pekerja ini telah berkhidmat selama 20 tahun dan selayaknya menerima kenaikan gaji bukannya diabaikan, sedangkan gaji itulah yang digunakan untuk menyara keluarga malah dengan peningkatan harga barang semasa bagaimana pekerja ini mampu meneruskan kehidupan,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau.

Menurut beliau, selepas ditolak potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 11% atau RM128, baki gaji bulanan yang diterima pekerja harian berkenaan cuma RM840.

Beliau juga mahu kerajaan negeri segera meningkatkan gaji, selain pemberian elaun berkaitan.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan gaji minimum baharu, RM1,500, akan dikuatkuasakan pada 1 Mei membabitkan syarikat dalam sektor swasta yang mempunyai lima pekerja atau lebih.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top