UMNO Sabah Ikut Keputusan Parti, Sedia Berhadapan Dengan BERSATU Dalam PRU Akan Datang

Bung-Moktar.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyambut baik kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu sedia berhadapan dengan UMNO di semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, ia merupakan keputusan parti di mana UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU yang lalu.

“Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi walau bagaimanapun apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding maka UMNO tiada pilihan.

“UMNO kena mempertahankan kerusi-kerusi yang ditandingi dan seterusnya akan memperkasakan parti,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, selaku ketua parti di peringkat negeri pihaknya sedia untuk berhadapan dengan mana-mana parti termasuk BERSATU dan sebagainya.

“Kita telah mengharungi pelbagai dugaan yang besar, kita pernah menang, pernah kalah dan menang semua.

“Jadi ini bukan satu rintangan yang besar untuk kita semua bertentangan dengan mana-mana parti dalam PRU akan datang,” katanya.

Beliau turut meminta agar semua jentera parti di semua peringkat untuk sentiasa bersedia menghadapi PRU akan datang.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top