KOTA KINABALU: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan dapat memastikan kestabilan politik di Sabah, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sehubungan itu, tambah beliau, UMNO Sabah akan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa BN Sabah untuk memperhalusi kerjasama dengan PH di peringkat negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“UMNO Sabah menyokong kenyataan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan bahawa kempen BN-PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota akan dijadikan model dan formula untuk jentera kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya akan datang,” katanya yang merupakan Ketua UMNO Sabah.
“Kami juga akan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa BN Sabah untuk memperhalusi kerjasama dengan PH di peringkat negeri demi memastikan kemenangan di PRN17,” tambah beliau dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Sabah pada Isnin.
Bung Moktar, yang juga Pengerusi BN Sabah, menegaskan bahawa sebagai langkah strategik, kepimpinan parti peringkat negeri digesa untuk menyokong kempen PRK Mahkota.
“Langkah ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama BN-PH dan memastikan kemenangan calon BN.
“Kejayaan model ini akan dijadikan panduan bagi PRN17, di mana UMNO Sabah yakin bahawa kerjasama BN-PH akan memastikan kestabilan politik dan kemakmuran Sabah,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemeriksaan di setiap Bahagian menunjukkan kesiapsiagaan di peringkat akar umbi memuaskan, dan mana-mana ruang penambahbaikan akan segera diambil tindakan untuk memastikan jentera pilihan raya berada dalam keadaan terbaik.