1. Hari-hari kebelakangan ini kita dapat melihat serangan bertali arus UMNO Sabah ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
2. Yang terakhir gesaan daripada seorang pemimpin UMNO dari pantai timur Sabah supaya Hajiji segera membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri.
3. Sebelumnya ada gesaan supaya Hajiji meletakkan jawatan. Kemudian ada yang mahu Pengerusi GRS itu berundur dan diganti dengan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
4. Alasan kepada semua gesaan dan desakan itu adalah video tular yang didakwa berkaitan dengan rasuah lesen melombong yang melibatkan ADUN-ADUN kerajaan.
5. Selain UMNO, parti Warisan juga pernah membuat gesaan yang sama. Tetapi yang berbunyi hanya sayapnya, Wira Warisan. Tidak ada kenyataan seumpama itu daripada pemimpin-pemimpin kanan parti tersebut.
6. Tetapi selepas SPRM mengulangi jaminan akan menyiasat dakwaan skandal itu secara telus, Wira Warisan tidak berbunyi lagi. Mereka reti bahasa’.
7. Tidak begitu dengan UMNO Sabah. Mereka terus meratib. Tindakan yang tidak salah kerana di Sabah mereka pembangkang, tetapi tetap sumbang kalau berlebihan.
8. Yang peliknya suara-suara itu tidak memperlihatkan kehendak seluruh UMNO Sabah. Yang berbunyi, yang mendesak dan menyerang Hajiji rata-ratanya hanya orang yang di sekeliling Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
9. Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Penerangan, Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Negeri, Ketua Pemuda Bahagian yang juga anak Ketua UMNO Negeri. Hanya mereka.
10. Di Sabah ada ramai lagi pemimpin UMNO yang hebat-hebat, yang senior, yang auranya merentas sempadan negeri. Ada Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, ada Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Mohamad Al Amin, Datuk Yakubah Khan, dan beberapa nama yang masih berpengaruh. Tidak kedengaran apa-apa daripada mereka. Begitu juga pemimpin Sabah daripada PN.
11. Jika ‘silence is gold’ maka ‘gold’ itu menjadi milik mereka sekarang. Orang melihat kewajaran dan kematangan mereka dalam menentukan tindakan.
12. Tidak begitu dengan pihak yang satu lagi. Riuh rendah berlebihan menjadikan mereka penglipur lara murahan. Ia mungkin menaikkan rating mereka di mata presiden, tetapi bukan di mata rakyat.
13. Selepas kegagalan ‘Langkah Kinabalu 1’, UMNO Sabah sepatutnya lebih bijak dan berhati-hati untuk mengelak daripada terus berdepan dengan defisit kepercayaan rakyat. Ia tidak harus dilihat gelojoh dan haloba.
14. Tetapi itulah yang diperlihatkan oleh mereka yang di sekeliling ketuanya sekarang. Mereka lupa bahawa jika usaha menyingkirkan Hajiji bagi kali kedua melalui pelbagai asakan dan gesaan ini gagal, reputasi UMNO Sabah akan makin ke laut.
15. Ia tidak pelik kerana ada kawan penulis berpandangan ‘UMNO Sabah sebenarnya telah lama berada di laut’ dan cabarannya adalah bagaimana hendak membawa ia ‘balik ke darat’.
Oleh: Tamar Jeles