UMNO Sabah berhati-hati cari rakan kerjasama

bung-moktar.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengambil pendirian berhati-hati dalam bekerjasama dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pihaknya hanya akan bekerjasama dengan parti yang menghormati janji.

Beliau berkata, proses gabungan dengan parti lain sebelum ini mengajar UMNO Sabah untuk menjadi matang dalam menjalin kerjasama dengan parti lain di negeri ini.

“Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO dan Sabah.

“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan dan keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah.

“Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan berhubung kerjasama menjelang PRN Sabah, di sini, pada Jumaat.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata semua itu bergantung kepada keadaan politik semasa.

Apa yang penting, katanya, untuk memastikan gandingan UMNO Sabah pada PRN nanti akan menjadi faktor kekuatan dan kemenangan calon BN.

“Dari awal lagi UMNO Sabah sudah menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk menyatakan penyertaan dengan mana-mana gabungan parti politik di Sabah.

“Apa yang kita buat hari ini adalah memperkukuh semua jentera parti. Kumpul isu dan maklumat yang akan diguna pakai pada kempen PRN nanti.

“Kita perlu menyusun strategi baharu dan mendekati pihak berkepentingan termasuk pengundi muda untuk memastikan pergolakan politik tidak menjejaskan peluang UMNO dan BN memerintah semula Sabah,” katanya.

 

Berita asal: BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top