UMNO Perlu Jadi Juara Di Hati Rakyat

awang-aslee-1.jpg
Kongsi Bersama

KUALA PENYU: UMNO perlu sentiasa menjadi juara di hati rakyat untuk membela dan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, darurat, sakit dan musibah banjir.

Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, natijah pandemik kepada ekonomi semakin terasa menyebabkan rakyat semakin susah, resah dan gelisah memikirkan soal kelangsungan hidup mereka.

“Di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, pemimpin UMNO disemua peringkat perlu cakna terhadap masalah rakyat dan berusaha membantu mereka,” katanya ketika ditemui selepas melakukan program ziarah ke beberapa buah kampung di kawasan Parlimen Beaufort baru-baru ini.

Menurut Awang yang juga setiausaha eksekutif UMNO Sabah ,pemimpin parti disemua peringkat perlu mengelak budaya hanya bertemu rakyat atau ahli semasa pilihanraya atau pemilihan parti baru turun padang menemui mereka.

“Kita harus kembali kepada landasan asal dengan menjadikan mantra ‘tradisi membela rakyat’ sebagai teras perjuangan ketika ini,” katanya.

Awang turut berpuas hati dengan kepimpinan dan sayap UMNO di bahagian Beaufort yang mengamalkan budaya kerja berpasukan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial parti kepada masyarakat yang memerlukan di kawasan itu.

“Budaya ini perlu kita jadikan sebagai amalan berpanjangan iaitu jika ketua tidak dapat turun, Timbalan, Naib dan seterusnya ahli jawatankuasa dapat memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Menurut Awang, program ziarah ini akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dan ahli kepada parti secara berterusan. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top