Umno perlu henti bincang gabungan baharu, terus kerjasama dengan PH – Salleh

Salleh-Said-Keruak.jpg

KOTA KINABALU: Bekas menteri komunikasi dan multimedia, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menggesa Umno supaya mengelakkan daripada membincangkan soal gabungan dengan parti lain sebaliknya menumpukan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau perbincangan mengenai perkara itu tidak memberi apa-apa keuntungan kepada parti, sebaliknya hanya menguntungkan lawan.

“Seorang ahli politik yang bijak tidak sepatutnya menilai prospek masa depan gabungan politik semasa, di mana ia menjadi kepentingan politiknya.

“Ia bukan persoalan sama ada kita bersama mereka yang tidak bersalah atau bersalah, popular atau tidak popular. Sebaliknya, kita patut pertimbangkan apa yang terbaik dalam kepentingan politik kita,” katanya Adun Usukan yang juga bekas ketua menteri Sabah itu dalam catatannya di Facebook.

Salleh berkata: “Soalan siapa dan bagaimana gabungan kita pada masa akan datang bukanlah isu pada hari ini. Sekiranya kita membuka perbincangan tentang perkara ini, ia hanya akan memberi faedah kepada musuh politik kita.”

Katanya, Umno sepatutnya menggunakan peluang dengan bijak apabila berada dalam kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap cabaran yang dihadapi negara.

Ahad lalu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama PH-BN akan diteruskan selepas pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari kemudiannya mengeluarkan kenyataan sinis “bersetuju” bayangan diberikan Zahid itu, yang didakwanya memudahkan pengundi Melayu membuat pendirian awal.

Terdahulu hari ini, Hassan Karim daripada PKR berpendapat Umno perlu diterajui muka baharu, tidak hanya “menumpang dahan” PH pimpinan Anwar Ibrahim yang diakuinya “rapuh” dalam berdepan PRU16.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma penting untuk mendapatkan undi Melayu – kumpulan sokongan paling corot diterima gabungan PH-BN kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top