PETALING JAYA: Umno Padang Terap mahu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi wajah Barisan Nasional pada PRU15, dalam usul yang diluluskan mesyuarat perwakilan bahagian itu.
Ketuanya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata usul itu lulus sebulat suara, dengan “faktor utamanya kerana beliau merupakan Perdana Menteri ketika ini.”
Pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat di Naka, Kedah, Mahdzir yakin langkah meletakkan Ismail sebagai wajah BN akan menjadi strategi yang baik untuk memenangi hati pengundi.
“Beliau juga dilihat menjalankan tugas dengan baik dan faktor tersebut diyakini dapat menarik lebih ramai orang untuk mengundi UMNO dan BN.”
Dalam pada itu, Umno Padang Terap sebulat suara mahu Ismail terus menjadi Perdana Menteri sehingga penggal tamat pada 2023.
Beberapa bahagian dan pemimpin tinggi Umno sebelum ini mahu PRU15 diadakan sebelum pemilihan Umno, yang wajib bersidang sebelum hujung Disember tahun depan.
Mahdzir berkata Ismail perlu diberi masa dan ruang untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terutama berkaitan ekonomi.
“Apabila sampai satu ketika beliau merasakan sudah sampai masanya untuk adakan pilihan raya bersandarkan faktor tertentu, biarlah Ismail sendiri berbincang dengan kepimpinan parti,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir turut ditanya mengenai kelayakan Ismail diangkat sebagai Presiden Umno.
“Kalau boleh, kita mahu supaya Perdana Menteri menjadi orang sama menguruskan urusan berkaitan parti,” katanya. – FMT