KUALA LUMPUR: UMNO menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO berkata, pihaknya memandang serius berita yang tular berkaitan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kelmarin.
Menurutnya, sebarang kenyataan mengenai keputusan MKT UMNO adalah tidak sahih, melainkan ia datang daripada kenyataan rasmi parti atau kepemimpinannya.
“Sebarang laporan, spekulasi dan kenyataan media lain tidak boleh dirujuk sebagai pendirian atau kenyataan rasmi parti,” menurut JKS Penerangan UMNO dalam kenyataan.
Kenyataan itu merujuk kepada beberapa laporan media yang pemimpin UMNO memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM dan PN pada PRU15.
Laporan media yang memetik sumber parti itu dikatakan susulan pertemuan kepemimpinan UMNO di Janda Baik, Pahang, Jumaat lalu.