KOTA BELUD: UMNO terus mendapat tempat di kalangan anak-anak muda dan ini terbukti dengan penyertaan seramai 585 belia di sini sebagai ahli parti itu.
Kemasukan ahli UMNO baharu itu adalah hasil inisiatif Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Belud yang menjalankan tugas-tugas Ketua Pemuda, Azuwan Marjan@Norjan dan beliau menyerahkan borang keahlian itu kepada Ketua Bahagian UMNO Kota Belud Haji Fadli Juanas sempena Mesyuarat Pemilihan Perwakilan Tujuh (G7) bagi sesi 2021, di Dewan Masyarakat Kota Belud, di sini, baru-baru ini.
Mesyuarat perwakilan UMNO itu dirasmikan oleh Haji Fadli.
Turut hadir ADUN N10 Usukan, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said, ADUN N9 Tempasuk, Mohd Arsad Bistari, mantan Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Kota Belud Datuk Eyungmah Latun dan wakil-wakil daripada parti komponen Barisan Nasional(BN) yang terdiri daripada PBRS, MCA serta MIC.
Pada mesyuarat itu, seramai 17 orang telah bertanding untuk dipilih menjadi perwakilan tujuh UMNO bahagian Kota Belud sesi 2021.
Samri Moksan menduduki tempat pertama setelah mendahalui yang lain apabila memperolehi 583 undi terbanyak dan disusuli oleh Dzulaihie Raflan 576 undi di tempat kedua.
Manakala wakil ketiga hingga ketujuh pula masing-masing disandang oleh Haji Abd Laham Haji Rudin (435 undi), Adlin Mohammad (418 undi), Faizal Fauzi (400 undi),Khalid Jikal (384 undi) dan Datuk Awadnir Matanggal dengan 347 undi.
Ketika ditemui Azuwan yang juga merupakan Ikon dan Tokoh Belia Sabah dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia yang menjaga hal ehwal belia Sabah dengan memegang portfolio Pengerusi Tugas-tugas Khas Belia Borneo, berkata beliau sangat aktif dalam penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Antara aktiviti tersebut ialah, program kesukarelawanan melalui misi bantuan bencana, kursus kemahiran dan keusahawanan, peluang pendidikan kemahiran (TVET) dan kerjaya, kursus kepimpinan dan organisasi belia serta pertandingan sukan menerusi teras gaya hidup sihat yang sering diadakan terutama dari kampung ke kampong, malahan sentiasa bergerak juga ke daerah-daerah lain di seluruh pelosok negeri Sabah bagi memastikan pembangunan golongan belia terus terpelihara.
Menurut Azuwan, pendekatan seumpama ini telah berjaya menarik minat golongan belia untuk mengambil tahu tentang politik negara kerana menerusi kajian Indeks Belia Sabah 2015 didapati bahawa peratusan bagi indikator Sosialisasi Politik di kalangan belia Sabah masih terlalu rendah.