KOTA KINABALU: Hanya berbaki tujuh hari lagi sebelum penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, namun Umno masih merahsiakan jumlah kerusi yang akan ditandingi.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya akan mengumumkan perkara itu apabila tiba masanya nanti.
Menurutnya, sehingga kini pemilihan calon Umno telah mencecah 90 peratus.
“Belum boleh saya bagitahu, nanti sampai masanya saya bagitahu.
“Calon sudah siap kira-kira 90 peratus dan pengumuman akan dibuat pada 8 atau 9 September ini,” katanya dalam sidang media sempena Program Mini Karnival Kerjaya Peringkat Kinabatangan, semalam.
Setakat hari ini, belum ada mana-mana parti politik yang akan menyertai PRN Sabah mengumumkan calon.
Pada PRN Sabah kali ke-16 ini, sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dipertandingkan.
Ia diadakan susulan pembubaran Dun Sabah pada 30 Julai lalu.-