UMNO Mahu Parlimen Putatan Dikembalikan Kepada BN

jeffrey-umno-putatan.jpg
Kongsi Bersama

PUTATAN: UMNO Putatan mahu kerusi Parlimen Putatan dikembalikan kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohammad berkata, kerusi berkenaan pada asalnya milik UMNO sebelum diminta oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sehubungan itu pihaknya berharap pihak kepimpinan parti di antara BN dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju agar kerusi Parlimen  Putatan ditandingi oleh calon UMNO.

Pihaknya juga mahu calon yang bakal bertanding datang dari UMNO Putatan agar penduduk dan jentera UMNO bahagian akar umbi tidak kecewa.

“Kita juga menegaskan kepada mana-mana pihak dan parti, apa yang berlaku di Putatan ini mesti melibatkan UMNO Putatan kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat adalah wakil rakyat UMNO.

“Justeru, apa juga perbincangan, kerjasama dan pelantikan perlu melibatkan UMNO Putatan dalam membuat sebarang keputusan rasmi di peringkat pentadbiran daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO Putatan di sini pada Ahad.

Jeffrey berkata, UMNO Putatan mengambil pendekatan untuk mengeratkan kerjasama dan perlu ada keikhlasan, ketelusan dan kejujuran kerana masing-masing saling memerlukan dan ia bukannya kerjasama satu hala.

Menurutnya, sehingga kini tidak wujud sebarang konflik di antara UMNO Putatan dengan parti lain namun keputusan di peringkat pentadbiran daerah yang tidak melibatkan pihaknya mendatangkan kekecewaan kepada UMNO Putatan.

“Kita bersyukur dalam kawasan DUN Tanjung Aru, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) yang dilantik adalah Ketua Pemuda UMNO Putatan.

“Dengan pelantikan itu, kemungkinan besar lebih ramai lagi orang-orang kita dilantik untuk memegang jawatan peringkat kampung dan majlis daerah.

“Tetapi, di peringkat daerah Putatan, kita sedikit kecewa kerana UMNO Putatan tidak dibawa berbincang dan bekerjasama dalam membuat sebarang keputusan,” jelasnya.

Beliau berkata, pihak pentadbiran daerah sudah dimaklumkan berhubung perkara itu agar mana-mana program rasmi daerah turut melibatkan pihak UMNO. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top