UMNO Mahu Kerusi Parlimen Beaufort Kekal Ditandingi Parti Itu

ag-aslee.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: UMNO Bahagian Beaufort menyuarakan pendiriannya akan terus mengekalkan kerusi Parlimen Beaufort ditandingi parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Pemangku Ketua Bahagiannya, Ag Aslee Lakat, berkata ini merupakan pendirian UMNO Beaufort dan akan terus mempertahankannya.

Katanya, UMNO bahagian ini telah wujud sekian lama dan sewajarnya kerusi berkenaan dikekalkan untuk ditandingi parti itu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan perwakilan UMN Bahagian Beafort di Dewan DSP Dun Banir di sini.

Kerusi Parlimen Beaufort ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Azizah Mohd Dun pada pilihan raya umum yang lepas. Bagaimanapun, Anggota Parlimen itu kemudian telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ag Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah menegaskan bahawa UMNO bahagian itu tidak akan berganjak daripada pendirian tersebut.

Katanya, ia sejajar dengan pendirian UMNO Sabah dan UMNO Pusat.

Beliau juga meminta pemimpin dan ahli UMNO bahagian supaya terus giat mempromosikan kebaikan yang dibawa parti kepada rakyat.

“Banyak kebaikan dan jasa parti selama ini dan kita harus terus memberi informasi supaya rakyat memahami serta ia dapat memberi manfaat kepada mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, gandingan pemimpin lama dan muka-muka baharu golongan muda dalam kepimpinan bahagian sekarang akan terus dapat memperkukuhkan lagi kepimpinan bahagian itu.

Katanya, jumlah cawangan parti sejumlah 219 yang aktif sekarang juga boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa berdasarkan penerimaan dan keyakinan dalam kalangan rakyat.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para perwakilan yang menghadiri dan menjayakan persidangan bahagian tersebut.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top