KOTA KINABALU: Umno Tuaran mahu bertanding di kerusi Parlimen Tuaran pada pilihan raya ke-15.
Ketuanya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, mengatakan bahawa pada PRU lalu kerusi itu ditandingi oleh Upko yang ketika itu berada di dalam Barisan Nasional (BN) tetapi telah meninggalkan gabungan itu selepas PRU tersebut.
Umno, katanya, adalah parti insklusif yang membawa kesejahteraan untuk semua, tanpa mengira bangsa dan agama mereka.
“Hari ini kami mengeluarkan resolusi untuk meminta agar Umno Tuaran diizinkan bertanding di kerusi Parlimen Tuaran. Saya meminta semua pemimpin akar umbi bahagian untuk turun padang dan menyampaikan berita bahawa Umno Tuaran bersifat inklusif dan akan menjaga kesejahteraan penduduk kawasan Tuaran, ”katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno Tuaran di Tamparuli, semalam.
Abdul Rahman yang merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno, juga turut mendesak UMNO bahagian Kota Belud agar tidak melepaskan peluang untuk bertanding di kerusi parlimen di sana.
Sementara itu mengenai isu pergolakan di Semenanjung, di mana Umno tidak mahu bekerjasama dengan PBBM, Abdul Rahman berkata, Umno Tuaran hanya akan membuat pendirian selepas persidangan perwakilan tahunan parti yang dijadualkan diadakan pada akhir bulan ini.
“Di Sabah kita mempunyai dilema yang unik, pertama kita baru sahaja melalui pilihan raya negeri dan kerajaan negeri dipimpin oleh PBBM dan disokong oleh Umno Sabah. Adakah akan ada perubahan selepas ini? Kami menunggu keputusan dari persidangan perwakilan tahunan parti.
Abdul Rahman menegaskan bahawa masih belum jelas apa yang akan ditentukan oleh perwakilan pada persidangan perwakilan tahunan Umno nanti.
“Mungkin tidak bekerjasama (dengan PBBM) hingga pilihan raya umum ke-15 atau mungkin ada arahan lain, termasuk tidak memegang jawatan dalam pemerintahan,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa sebagai anggota Majlis Tertinggi, dia telah membincangkan panjang lebar mengenai hubungan parti itu dengan PBBM dan setiap orang mempunyai alasan mereka sendiri mengenai perkara itu.