LABUAN: Umno bahagian Labuan mahu pemimpin dari bahagian parti itu dikekalkan sebagai calon bertanding untuk kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum ke-15 akan datang.
Dan kesemua 200 perwakilan daripada 29 cawangan dalam Mesyuarat Perwakilan Umo Labuan semalam mengusulkan agar ketua bahagian Umno Labuan Senator Datuk Bashir Alias dicalonkan bagi meneruskan kepimpinan Umno di pulau bebas cukai disini.
Dengan memperkasakan Muafakat Nasional, usul-usul lain yang turut diperdebatkan dan diluluskan adalah Umno Labuan menyokong pendirian Majlis Kerja Tertinggi parti pusat menolak kerjasama dengan parti DAP dan pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Juga mencadangkan agar pentadbiran kerajaan berteraskan kuasa politik orang Melayu dan kaum Bumiputera, dengan tidak meminggirkan kerjasama dengan semua kaum.
Dalam sidang akhbar, Bashir berkata pendirian Umno Labuan tidak berubah memastikan Labuan harus diwakili pemimpin Umno Labuan dalam PRU akan datang dan bahagian itu akan tidak berputus-asa menuntut kerusi Parliman Labuan tanpa ada kompromi.
“Sejak sekian lama, calon yang memenangi PRU adalah calon Umno, sudah semesti rasionalnya, PRU akan datang, pemimpin bahagian Umno Labuan harus dipilih untuk bertanding bagi meneruskan legasi Umno Labuan.
“Kita mahu pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) pusat dapat menyuarakan hasrat Umno Labuan untuk pemimpin tempatan Umno Labuan dicalonkan PRU nanti,” katanya.
Bashir berkata Umno Labuan optimistik bahagian itu akan mampu menyumbang kerusi untuk Umno dan BN berdasarkan jumlah ahli yang meningkat kepada hampir 10, 000 disamping sokongan dari pengundi Tiong Hua dan etnik Sabah yang telah menjadi pengundi berdaftar di Labuan.
“Labuan akan terus berperanan sebagai ‘fixed deposit’ untuk BN bersandarkan kebangkitan semula sokongan Melayu dan kaum-kaum lain ke atas Umno,” katanya.
Bashir menegaskan sekiranya ada usaha-usaha untuk meletakkan calon daripada parti-parti lain (dalam pemerintahan kerajaan), Umno Labuan tidak akan berganjak dan akan terus bertanding meskipun menentang calon dari parti pemerintah dalam PRU akan datang.
“Dengan jumlah pengundi hampir mencecah 29,000 orang, dengan lebih 5, 000 terdiri dari kalangan pengundi Tiong Hua dan etnik Sabah, yang menyokong Umno, wajarlah kita harus terus kekal bertanding,” katanya.