PAPAR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Itu jaminan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mewujudkan kestabilan politik di Sabah.
Beliau berkata, berdasarkan apa yang telah ditandatangani antara UMNO/BN dan kerajaan Sabah, kerjasama yang ada pada hari ini harus dikekalkan.
“Untuk UMNO sendiri, saya telah memberitahu kepada rakan-rakan dalam UMNO dan BN Sabah supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugat mana-mana pihak.
“Terdapat beberapa langkah penyelesaian yang sedang dilakukan dan kita mencari kaedah-kaedah terbaik supaya kerajaan yang ada di Sabah ini terus dikekalkan sehingga PRN yang akan datang,” katanya dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Kampung Benoni, Papar hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau berharap agar jawatan-jawatan (UMNO/BN) dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau ketua kampung juga terus dikekalkan seperti yang telah dipersetujui.
Katanya, beliau tidak mahu ada pertukaran disebabkan perkara-perkara yang kecil yang berlaku antara Semenanjung dan Sabah.
Ahmad Zahid berkata, ketika ini UMNO/BN berada dalam fasa bertenang jadi, mereka mahu terus mewujudkan situasi yang tenang itu antara pelbagai parti di Sabah.
Malah, UMNO/BN juga mewujudkan sekretariat kerajaan perpaduan di peringkat negeri yang diketuai oleh Datuk Yakub Khan manakala di peringkat pusat sekretariat itu diketuai oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Melalui sekretariat itu, beberapa kordinasi dilakukan bagi menstabilkan kerajaan dan mempertahankan kedudukan yang ada di peringkat negeri Sabah.
Mengulas tentang kesediaan Warisan bekerjasama dengan UMNO/BN pada PRN akan datang, Ahmad Zahid berkata, mereka sedia bekerjasama dengan mana-mana 20 parti yang bernaung di bawah kerajaan perpaduan.
“Pada 14 Mei ini, kami akan mengadakan konvensyen membabitkan semua parti dalam kerajaan perpaduan dan pengumuman penting akan dibuat oleh Perdana Menteri selaku pengerusi ataupun ketua kerajaan perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, gabungan kepimpinan baharu UMNO Sabah antara Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan adalah kombinasi yang baik dan mampu membantu mewujudkan kestabilan politik di negeri ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Bung Moktar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif. – UTUSAN